Monday, April 22, 2013

KENAPA RASULULLAH TIDAK MEMPUNYAI BAYANG


Semua sedia maklum satu mukjizat Nabi Muhammad saw adalah baginda tidak mempunyai bayang kerana baginda itu sendiri adalah cahaya. 
Rahmatan Lilalalmin.

baginda dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.. baginda itu Nur Muhammad... cahaya atas cahaya... Allahu Rabbi...

Ini adalah sabahagian rambut Rasululillah saw.... rambut ini apabila disuluh tiada bayang... jelas... ini adalah rambut junjungan besar baginda Rasululillah... rambut baginda masih hidup walaupun jasad baginda sudah tiada... buktinya apabila rambut ini dipotong.. ia akan kembali kepada panjang asal....

Sollu alan Nabi...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ 

Allahumma salli `ala muhammadin wa'ali muhammad, kama sallayta `ala ali ibrahim, innaka hamidun majid, Allahumma barik `ala muhammadin wa'ali muhammad, kama barakta `ala ali ibrahim, innaka hamidun majid -

ANTARA KEISTIMEWAAN RASULULLAH SAW

Memang Rasulullah SAW manusia hebat, tiada tara, tiada lawannya, jika dikatakan Nabi Yusof segak tapi Nabi Muhammad lebih segak ,jika Nabi Daud dikurniakan dengan merdunya suara, tetapi suara Nabi Muhammad lebih merdu.

Mari kita lihat banyak lagi istimewanya Rasulullah SAW yang kita tidak tahu 

Rasulullah SAW tiada bayang-bayang:
Al-Hakim al-Tirmizi meriwayatkan daripada Zakwan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu tidak mempunyai bayang-bayang sama ada ketika berada di bawah sinar matahari, mahupun bulan.”

Rasulullah SAW tidak dihinggapi lalat :

Al-Qadhi ‘Iyadh menyebut di dalam al-Syifa, dan al-’Azafi dalam Maulidnya: “Di antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW, lalat tidak pernah menghinggapi baginda.”

Ia juga disebutkan oleh Ibnu Sabu’ dalam al-Khasa’is, dengan lafaz: “Sesungguhnya lalat tidak pernah hinggap pada pakaiannya.”

Beliau menambah: “Sesungguhnya di antara keistimewaan Rasulullah SAW, kutu tidak pernah menggigitnya.”

Istimewanya darah Rasulullah SAW:

Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Abu Ya’la, al Tabrani, al Hakim dan al Baihaqi daripada Abdullah ibn al Zubair: “Bahawa dia pernah datang menemui Rasulullah SAW ketika sedang dibekam. Setelah selesai dibekam, Rasulullah SAW pun bersabda, “Wahai Abdullah! Pergilah kamu dengan membawa darah ini dan buanglah ia di suatu tempat yang tiada sesiapa pun melihat kamu.”

Tetapi dia meminum darah itu. Apabila pulang, Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Abdullah! Apakah yang telah kamu lakukan (terhadap darahku itu)?”

Jawabnya: “Aku telah meletakkannya di tempat yang tersorok yang aku ketahui ia sememangnya tersembunyi daripada pengetahuan orang.”

Rasulullah SAW bersabda: “Kemungkinan kamu telah meminumnya”. Kataku, “Ya!” Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah manusia daripada kamu dan terselamatlah kamu daripada manusia.”

Peluh Rasulullah SAW wangi :
Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas berkata: Rasulullah SAW pernah datang kepada kami lalu tidur sebentar (qailulah) di tempat kami. Baginda SAW berpeluh (semasa tidur). Ibuku datang membawa sebuah botol kaca lalu menadah peluh Rasulullah SAW yang mengalir itu. Rasulullah SAW pun terjaga lalu bersabda, “Wahai Ummu Sulaim! Apakah yang engkau lakukan?” Dia menjawab: “Peluh ini akan kita jadikan minyak wangi kita, ia adalah wangian yang paling harum!”

Nabi Muhammad SAW terpelihara daripada menguap
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam al-Tarikh, dan Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf, serta Ibnu Sa’ad daripada Yazid ibn al-Asom, berkata: “Nabi Muhammad SAW tidak pernah menguap sama sekali.”

Keistimewaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang tidak diberikan kepada Nabi-nabi yang sebelumnya adalah:

1. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam diutuskan kepada semua manusia dan jin. Sedangkan Nabi-nabi terdahulu hanya diutuskan kepada Kaumnya sahaja. (Hr Bukhari)

2. Dihalalkan harta rampasan perang (ghanimah) kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallamsedangkan tidak dihalalkan bagi manusia-manusia sebelum Nabi. (Hr Bukhari)

3. Semua tanah dan tempat di muka bumi ini boleh dijadikan tempat solat. (HBukhari)

4. Nabi-nabi dan ummat terdahulu tidak bersembahyang melainkan di tempat-tempat ibadah yang khusus. (Hr Ahmad)

5. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diberi bantuan ketika menghadapi musuh-musuh Islam dengan Allah SWT mencampakkan perasaan takut dalam hati-hati musuh sebelum sampai bertemu tentera-tentera Islam sejauh sebulan perjalanan. (Hr Bukhari)

6. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diberi Syafaat. (Hr Bukhari) Syafaatnya untuk ummatnya bagi orang yang tidak melakukan syirik. (Hr Ahmad)

7. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diberikan “Jawamiul Kalim”. (Hr Muslim) Iaitu kalimah yang ringkas tetapi mengandungi banyak makna.

8. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah penutup bagi kenabian. (Hr Muslim)

9. Diberikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah dari gedung di bawah arasy. (Hr an-Nisaei)

10. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diberikan kunci-kunci bumi. (Hr Ahmad)

11. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah orang yang pertama diberi nama Ahmad. (Hr Ahmad)

12. Ummat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah yang sebaik-baik umat. (Hr Ahmad)

13. Diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang akan datang semasa dia lahir ke dunia lagi. (Hr al-Bazzar)

14. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam diberikan Telaga al-Kauthar di akhirat. (Hr al-Bazzar)

15. Mula-mula Qarin yang bersama Nabi Muhammad adalah kafir. kemudian Allah SWT membantu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan Islamnya Qarin tersebut.

16. Dijadikan saf Ummat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam seperti saf para malaikat. (Hr Muslim)

والله أعلم بالصواب
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Wallahua'lam...

P/S : Jika terdapat kesalahan, mohon ditegur :-)
Terima kasih kepada mereka yang menegur kesillapan saya.







Tuesday, November 29, 2011

Jiran Nabi Musa Di Syurga


Nabi Musa a.s. adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah SWT. Setiap kali baginda hendak bermunajat Nabi Musa akan naik ke bukit Tursina. Di atas bukit itulah baginda akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah, "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?"

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari bukit Tursina dan terus berjalan menuju ke tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, baginda berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam baginda dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia terus masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya.

"Apa hal ini?" Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah babi itu dilapkan sampai kering serta dipeluk cium, ia kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagidengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap sehingga kering dan dipeluk cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke dalam bilik.

Setelah selesai kerjanya itu barulah dia melayan Nabi Musa.

"Wahai saudara, apa agama kamu?" soal Nabi Musa kepada pemuda tersebut.

"Aku agama Tauhid" jawab pemuda itu, iaitu agama Islam.

"Habis mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu" kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba" kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusan mereka dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap akan melaksanakan kewajipanku sebagai seorang anak. Hari-hari aku berbaktikepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap akan melaksanakan tugas aku" sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka dosa diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi" tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah turunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s, "Wahai Musa inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Ibu dan ayahnya sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu kami naikkan maqamnya sebagai anak yang soleh di sisi kami".

Allah juga berfirma lagi yang bermaksud,"Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh di sisi kami, maka kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang kami sediakan di dalam neraka telah kami pindahkan ke dalam syurga.

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka dipindahkan ke syurga. Dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Walau bagaimanapun buruk sekali punperangai kedua ibu bapa kita, itu bukan urusan kita. Urusan  kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan itu juga bukan urusan kita. Urusan kita ialah meminta ampun  kepada Allah SWT supaya kedua ibu bapa kita diampuni oleh Allah SWT.

Doa anak yang soleh yang akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di alam kubur.

Erti kasih sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit tetapi kasih dan sayang  seorang anak kepada kedua ibu bapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibu bapanya mendapat tempat yang terbaik disisi Allah.

Saturday, September 24, 2011

Kisah Nabi Sulaiman & Ratu Balqis



Dalam kisah Nabi Sulaiman a.s, diceritakan bahawa baginda mengajak seorang Ratu (pemerintah) dari sebuah negeri untuk mengikuti agamanya, iaitu hanya menyembah Allah s.w.t dan bukan yang lain (maksud al-Quran, surah al-Naml: 10-44).

Negeri itu adalah Saba dan Ratunya bernama Balqis. Kisah tentang negeri Saba dan penduduknya terdapat di dalam al-Quran, iaitu surah Saba ayat 15-21. Surah Saba diturunkan di Mekah, mengandungi 54 ayat. Dinamakan surah Saba (perihal penduduk Saba), kerana kisah mereka ada disebutkan pada ayat-ayat 15 hingga 21. Pada awal surah ini, Allah menegaskan bahawa segala puji bagi-Nya kerana Dialah yang menciptakan dan menguasai seluruh alam, dan Dialah yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada sekalian makhluk-Nya di alam kehidupan ini, dan yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada orang-orang beriman pada hari akhirat.

Setelah menolak fahaman kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad s.a.w dan yang tidak percayakan kedatangan hari kiamat, dan setelah menerangkan keistimewaan-keistimewaan yang telah diberikan kepada nabi-nabi yang telah lalu, maka Allah s.w.t memberi amaran kepada golongan musyrik itu, sekiranya mereka masih berdegil dengan kekufuran, maka mereka akan dibinasakan sebagaimana penduduk negeri Saba yang telah dibinasakan kerana mereka kufur ingkar.

Kemudian Allah s.w.t menujukan firman-Nya kepada Nabi Muhammad s.a.w dan menerangkan bahawa baginda adalah diutus kepada umat manusia seluruhnya sebagai Rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar.

Sebagai penutup, digambarkan keadaan orang-orang yang bersalah pada hari kiamat. Mereka kelihatan cemas takut dan gerun gementar apabila menyaksikan azab seksa yang disediakan untuk mereka. Semasa mereka diseret untuk menerima balasan, mereka berkata: “Sekarang kami beriman…” tetapi pengakuan mereka yang demikian tidak ada gunanya kerana tempat beriman ialah di dunia, sedang mereka telah terpisah dari dunia dan tidak mungkin kembali lagi.

Dalam surah tersebut dijelaskan bahawa negeri Saba dikurniai Allah s.w.t dengan kemewahan, dengan tanah yang subur sehingga penduduknya hidup dengan aman makmur. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “… (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun.” (Surah Saba: 15).

Namun, kerana ingkar kepada Allah s.w.t, penduduk Saba ditimpa azab berupa banjir besar yang menghancurkan negeri mereka. Kisah pengingkaran kaum Saba dan turunnya azab Allah s.w.t ini terjadi setelah Ratu Balqis mengikuti agama Nabi Sulaiman a.s.

Sebuah hadis sahih daripada Ibnu Abbas menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w pernah ditanya seseorang, yang bermaksuid: “Apakah Saba itu nama negeri atau nama seseorang?” Nabi menjawab, “Dia adalah manusia beranak sepuluh. Enam tinggal di Yaman dan empat di Syam. Yang di Yaman ialah Mudzhij, Kindah, Alazad, Asa’ariyum, Anmar dan Himyar. Yang di Syam adalah Lakham, Judzam, Amilah dan Ghassan.”

Nenek moyang mereka dikatakan berasal daripada kabilah-kabilah Arab Yaman. Asal kediaman mereka bernama Saba, kemudian menjadi nama negeri atau kerajaan dengan ibu kota Maarib.

Kerajaan Saba pernah dipimpin oleh seorang Ratu yang bernama Balqis. Kepimpinan Balqis menunjukkan bahawa seorang wanita boleh terlibat dan berperanan dalam mengelola pemerintahan. Balqis termasuk seorang Ratu yang bijaksana, suka berunding dan berdamai. Negeri Saba yang dipimpinnya disebut di dalam al-Quran sebagai negeri yang baik dengan Tuhan Yang Maha Pengampun (Surah Saba: 15), kerana Allah s.w.t telah mengurniai tanah Saba dengan lading-ladang yang amat subur.

Allah s.w.t melimpahkan rezeki-Nya kepada penduduk Saba dengan memberi mereka dua kumpulan kebun yang luas lagi amat subur. Namun kerana mereka tidak mensyukuri nikmat yang telah diberikan, Allah s.w.t menggantikan pohon-pohon di kebun itu dengan pohon yang berbuah pahit, iaitu pohon Asl dan Sidr. Asl adalah pohon yang berakar kuat sehingga sukar dicabut. Adapun pohon Sidr adalah pohon yang tidak mengenyangkan untuk dimakan.

Kisah negeri Saba dengan penduduknya merupakan petunjuk, pengajaran dan tanda akan nyatanya kekuasaan Allah s.w.t, sebagaimana firman-Nya: “… Sesungguhnya bagi kaum Saba ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka…” (Surah Saba: 15).

Nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t tidak mereka syukuri, bahkan mereka menganiaya diri mereka sendiri dengan mengingkari seruan Allah s.w.t sehingga mereka diazab Allah s.w.t. Azab berupa banjir dan pohon berbuah pahit menjadi pengajaran berharga bagi kaum Saba.Nabi 


Saturday, August 20, 2011

Cara Nabi Hidupkan Lailatul Qadar

 



RAMADAN menjanjikan ganjaran yang cukup istimewa bagi seorang Muslim ke arah mengecapi kecemerlangan hidupnya. Hal ini akan terlaksana dan tercapai dengan jayanya.Pertama; jika setiap hamba benar-benar seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa berteraskan keimanan dan muhasabah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.Kedua; yakin dengan ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT terhadap segala amalannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.(riwayat al-Bukhari dan Muslim]Memasuki detik 10 terakhir Ramadan pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW terlakar dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kupasan ringkas hadis

Para ulama berbeza pendapat dalam memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (riwayat Muslim)

Mengikat kainnya

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah ‘mengikat kainnya’.

Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua pengertian iaitu Rasulullah SAW tidak menggauli para isterinya iaitu melakukan hubungan suami isteri (jimak) dan ini digambarkan dengan istilah ‘mengikat kainnya’.

Maksud yang kedua ialah baginda SAW bersungguh-sungguh dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Kedua-dua pengertian adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Rasulullah SAW tatkala tiba malam-malam 10 akhir Ramadan. (Fath al-Bari 6:310)

Menghidupkan malam harinya

Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik kepada umatnya agar melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupkannya dengan melakukan ketaatan melalui gerak kerja ibadah.

Antaranya melakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam sewaktu manusia terlena di malam hari. (Fath al-Bari 6:310)

Membangunkan Ahli Keluarganya

Dalam hal gerak kerja beribadah (solat), baginda SAW tidak pernah melupakan atau mengabaikan keluarganya.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam perihal melakukan ibadah-ibadah sunat.

Perilaku baginda SAW membangunkan ahli keluargannya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab r.a di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta’ menyebutkan, bahawasanya Umar r.a melakukan solat malam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar r.a membangunkan keluarganya agar melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: “Solat! solat!”

Perkara-perkara yang dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan

1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman

Ibn Abi ‘Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a: “Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak”. (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini) Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi’en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi’en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.

2. Mencari lailatul qadr

Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud, Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari) Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu”. (Riwayat Abu Dawud).Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

3. Melewatkan sahur

Daripada Sahl ibn Sa’d berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)

4. Melakukan iktikaf

Iktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan).Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5) Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari”. (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)

5. Membanyakkan doa

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak”. (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)